Monday, August 22, 2011
Rebutlah keistimewaan Lailatulqadar BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Ogos - Lailatulqadar merupakan satu malam yang dianugerahkan Allah Ta'ala khusus untuk umat Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wassalam, maka ia perlu menjadi rebutan seluruh umat Islam di dunia ini memandangkan nilai ibadah yang dilakukan di malam istimewa itu adalah lebih baik daripada seribu bulan. Alangkah beruntungnya orang yang memperoleh keistimewaan malam Lailatulqadar kerana ia merupakan satu malam yang dianugerahkan oleh Allah Ta'ala khusus untuk umat Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wassalam bagi memuliakan mereka, iaitu pemberian itu tidak pernah berlaku kepada umat-umat sebelum. Menurut Khatib, umat Islam perlu mencontohi Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam yang lebih mempertingkatkan lagi amalan Baginda sebaik saja memasuki malam ke-21 Ramadhan iaitu dengan beriktikaf di masjid, membangunkan anggota keluarga Baginda untuk bersolat dan sebagainya. Itu jelas menunjukkan bahawa Baginda benar-benar berusaha untuk memperoleh Lailatulqadar itu, ujar Khatib lanjut dalam Khutbah Jumaat hari ini. Khatib menyatakan, Ramadan memberi kesempatan atau peluang terbaik bagi umat Islam untuk meningkatkan lagi iman dan takwa kepada Allah Ta'ala dengan mengerjakan amal ibadat. Sebagaimana yang diketahui bersama bahawa di dalam bulan Ramadan ini terdapat satu malam yang dinamakan Lailatulqadar yang penuh keberkatan dan mempunyai keistimewaan, dengan nilai ibadahnya lebih baik daripada seribu bulan, sebagaimana firman Allah Ta'ala dalam Surah Al-Qadar Ayat 3, ujar Khatib lagi. "Sesungguhnya mereka yang dapat melakukan apa jua jenis ibadat sama ada solat, membaca Al-Quran, berzikir dan lain-lain pada malam Lailatulqadar dengan penuh rasa keimanan dan ketakwaan, nescaya dia akan mendapat kedudukan yang sangat tinggi di sisi Allah Ta'ala dan mendapat ganjaran pahala yang berlipat kali ganda yang tiada terhitung oleh sesiapa pun jua." Adapun hikmah kenapa kita tidak dapat mengetahui bila berlakunya Lailatulqadar adalah supaya kita akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk beribadat pada setiap malam di bulan Ramadan supaya dapat bertemu dengan Lailatulqadar dan tidak akan hanya beribadat pada malam tertentu saja. Pada malam itu Allah Ta'ala mengampunkan dosa-dosa bagi mereka yang beribadat dengan penuh keikhlasan serta mengharap keredaan Allah Ta'ala sebagaimana dalam sebuah hadis Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam yang diriwayatkan oleh Imam Bukhary, kongsi Khatib lanjut. Khatib menyeru supaya umat Islam di Negara ini merebut peluang keemasan di malam-malam sepuluh terakhir Ramadan dengan meningkatkan dan membanyakkan amal ibadat, di samping meninggalkan perkara yang sia-sia. "Apa yang diharapkan semoga kita dipertemukan dengan malam istimewa berkenaan kerana kita tidak pasti adakah kita akan bertemu lagi dengan bulan Ramadan pada tahun hadapan." "Oleh yang demikian, kita sepatutnya mencontohi apa yang dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam dalam meningkatkan amal ibadat bagi mendapatkan keistimewaan Lailatulqadar." Diambil dari MediaPermata.
Banyakkan berdoa di akhir Ramadan BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Ogos - "Rugi jika sepi daripada berdoa di bulan Ramadan, maka rebutlah kesempatan dan peluang mustajabnya berdoa di bulan Ramadan ini dengan memperbanyakkan berdoa pada setiap ketika dan keadaan." Haji Saharuddin Haji Petra turut mengungsikan bahawa jumlah mereka yang diberi keampunan oleh Allah Ta'ala di akhir-akhir Ramadan ini adalah lebih ramai berbanding setiap hari di bulan-bulan lain. Beliau turut mengatakan bahawa setiap ibadat yang dilakukan di sepanjang bulan Ramadan ini dijanjikan pahala yang berlipat kali ganda berbanding di bulan-bulan lain seperti contoh ibadah wajib boleh berganda dari 70-700,000 kali ganda, ibadat sunat digandakan sehingga seperti pahala ibadah wajib di bulan lain. Setelah menunaikan pelbagai ibadat di bulan yang penuh rahmat dan keberkatan ini, umat Islam perlu berdoa kepada Allah Ta'ala supaya menerima segala ibadat yang telah dilakukan itu dan kemudiannya bertawakal iaitu berserah kepada Allah Ta'ala, ujarnya lagi. Dalam Ceramah Khas selepas Solat Fardu Jumaat Sempena Ramadan 1432H di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah hari ini, Haji Saharuddin turut mengungsikan adab-adab berdoa. Antaranya ialah seseorang itu perlu yakin bahawa doanya itu akan dimakbulkan oleh Allah Ta'ala kerana menurut Haji Saharuddin Allah Ta'ala tidak akan membiarkan kosong tadahan tangan seseorang itu ketika berdoa. Beliau menjelaskan lanjut termakbulnya doa itu boleh saja tunai iaitu ketika masih hidup di dunia ini, dan boleh juga lain daripada yang diminta kerana mungkin yang diminta itu tidak baik di sisi Allah Ta'ala maka Allah Ta'ala berikan ganti dengan sesuatu yang baik di sisi Allah Ta'ala, dan boleh juga ketika di akhirat nanti iaitu ditukar menjadi amal soleh seseorang itu. Beliau seterusnya menyatakan adab berdoa itu ialah jangan mendoakan sesuatu yang tidak baik bagi orang lain tetapi yang baik-baik saja, dan ketika berdoa perlu khusyuk walaupun tidak sepenuhnya. Seseorang yang berdoa itu juga perlu mengawal nada suaranya, lebih mustajab diiringi doanya itu dengan menyebut nama-nama dan sifat-sifat Allah Ta'ala, mengakui kita berdosa dan lemah, memuji Allah Ta'ala dan berselawat ke atas Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wassalam di awal doa. Lebih afdal menadahkan tangan ketika berdoa, dalam keadaan berwuduk, menangis dan benar-benar berharap kala berdoa, dan mengambil kesempatan waktu-waktu istimewa mustajabnya berdoa seperti bulan Ramadan ini, tambah Haji Saharuddin lagi. Diambil dari MediaPermata.Oleh Hasrulraizan
Oleh Hasrulraizan
Haji Saharuddin menyampaikan ceramah khas Ramadan di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah selepas Solat Fardu Jumaat.
0 comments:
Post a Comment